Print

Pengenalan

Latar Belakang

Kolej MARA Kuala Nerang atau ringkasnya KMKN, memulakan operasi dan misi utamanya dalam mendidik anak bangsa bermula pada 1 Disember 1994. Pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM16 juta di dalam kawasan seluas 36 ekar yang terdiri daripada bangunan pentadbiran, bangunan akademik dan kolej kediaman (asrama).

En. Mat Zuber bin Ramli adalah Pengetua pertama yang mengisi kekosongan jawatan tersebut. Beliau berjaya mentadbir pengurusan kolej dengan baik dan diikuti oleh pengetua-pengetua lain selepasnya sehingga Pn. Hjh. Shaariah mengambil alih kerusi tersebut pada 11 Januari 2007. Walau bagaimanapun, gelaran Pengetua telah diubah kepada Pengarah selaras dengan Surat Pekeliling Am MARA Bil.2/2008 yang dikeluarkan pada 7 April 2008. Kepimpinan yang cemerlang dibawah pentadbiran pengetua dan pengarah membolehkan pihak kolej berjaya merangkul Anugerah Kualiti MARA empat tahun berturut-turut. Berikut adalah kronologi pengetua-pengetua dan pengarah yang pernah mentadbir kolej:

Kolej MARA Kuala Nerang terletak di daerah Padang Terap, Kedah Darul Aman. Seperti pusat IPMa (Institusi Pendidikan MARA) yang lain, kolej ini dinamakan Kuala Nerang sempena lokasinya yang terletak di Kuala Nerang iaitu bandar utama daerah Padang Terap. Pada asal pembangunannya, KMKN mempunyai sebuah pejabat pentadbiran yang bersambung terus dengan dua bangunan akademik utama iaitu blok akademik Utara (kini dikenali sebagai Cemerlang) dan Selatan (kini dikenali sebagai Gemilang), Recreation Center (kini dikenali sebagai Dataran Usahawan), dewan selera, tiga buah kolej kediaman iaitu blok L (kini dikenali sebagai Iman), blok P (kini dikenali sebagai Ikhlas) dan blok Q (kini dikenali sebagai Ikhsan), 4 buah rumah Semi-D setingkat (kini salah satunya didiami oleh Ketua Warden, selebihnya didiami oleh warden), dewan utama, pondok pengawal, perpustakaan dan surau.

Selepas beberapa tahun, KMKN menerima suntikan dana untuk menaiktaraf prasarana yang sedia wujud dan membina kemudahan-kemudahan baru. Antaranya pada tahun 1998, surau kolej diperbesarkan untuk menampung kapasiti pelajar dari 600 orang kepada 1000 orang. Pada tahun 2002, kediaman pengarah dan blok R (kini dikenali sebagai Iltizam) dibina. Empat tahun berikutnya, pembinaan blok Unggul, blok F (kini dikenali sebagai Insaniah) dan kediaman timbalan pengarah siap dilaksanakan.

Program Yang Dijalankan

Pada awalnya pihak kolej menjalankan Program Matrikulasi Universiti Utara Malaysia bermula dari tahun 1995 sehingga April 2000. Kumpulan pertama pelajar sesi 1995/1996 adalah pecahan kecil yang dipindahkan dari Kolej MARA Kulim untuk ditempatkan di Kolej MARA Kuala Nerang. Sepanjang tempoh usia Matrikulasi UUM ini, kolej telah menghasilkan 1,864 orang pelajar yang kemudiannya berhijrah ke Universiti Utara Malaysia. Berikut adalah statistik bilangan pelajar mengikut sesi:

Program Matrikulasi UUM tamat pada tahun 2000 setelah Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil alih Bahagian Matrikulasi pada tahun tersebut. Sejak itu bermula satu lembaran baru buat kolej apabila diberi mandat untuk melaksanakan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia dan berdiri megah bersaing bersama-sama Kolej Matrikulasi yang lain. Kolej MARA Kuala Nerang dan Kolej MARA Kulim dimiliki sepenuhnya oleh MARA manakala 9 buah kolej matrikulasi lain dimiliki oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia. Berikut adalah kolej-kolej Matrikulasi yang ada di Malaysia:

Berbekalkan kepercayaan dan sokongan padu dari Bahagian Matrikulasi, KMKN berjaya merintis laluan buat pelajar-pelajar Matrikulasi Jurusan Perakaunan menyambung pelajaran mereka di semua IPTA dan IPTS seluruh negara. Program Matrikulasi Jurusan Perakaunan tersebut bermula dari Jun 2000 sehingga ke hari ini. Pada sesi 2007/2008, KMKN melebarkan sayapnya apabila diberi penghormatan untuk mengambil pelajar dalam dua aliran iaitu Jurusan Perakaunan dan Jurusan Sains. Walaupun tempoh Jurusan Sains diperkenalkan agak singkat tetapi pencapaian pelajar-pelajarnya amat memberangsangkan. Berikut adalah statistik bilangan pelajar mengikut sesi:

Selain daripada Program Matrikulasi KPM, KMKN juga menjalankan program-program Universiti Kuala Lumpur (UniKL) iaitu Program Foundation in Engineering (FET) dan Program Foundation in Biological Science (FIBS). Program FET dan FIBS masing-masing bermula pada 17 Februari 2008 dan 27 Julai 2008. Kedua-dua program masih berjalan sehingga ke hari ini tetapi nama program telah diubah kepada Foundation in Science (FSc) sesuai dengan tempoh kematangan program tersebut. Sesi pembelajaran kedua-dua program hanyalah setahun kerana ia adalah program persediaan untuk pelajar cemerlang (Skim Pelajar Cemerlang). Pada hari ini, program FSc telah berkembang laluannya apabila para pelajar berpeluang menyambung pelajaran mereka di United Kingdom, Australia, New Zealand, India (Vinayaka) dan di dalam Malaysia sendiri iaitu di Royal College of Medicine Perak (RCMP). Semua peluang tersebut adalah hasil usaha UniKL merintis kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka dunia.

Pada tahun 2010, UniKL telah memperkenalkan sebuah program persediaan untuk kampus-kampus cawangannya seperti MFI, BMI, MSI, MIAT, MIIT, MICET, MIMET, RCMP, IPROM, MITEC, MESTECH dan lain-lain lagi. Program yang dikenali sebagai Foundation in Science & Technology (FiST) tersebut memperlengkapkan para pelajarnya dengan asas sains dan kejuruteraan sebelum mereka melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana muda. Oleh kerana program tersebut telah mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pelajar-pelajar saban tahun, pihak UniKL telah membuka ruang kepada pihak pengurusan Kolej MARA Kulim (KMK) untuk menyerap sebahagian pelajar-pelajar ini ke kampus mereka. Atas dasar perkongsian strategik, MARA telah menetapkan supaya mulai sesi 2013/2014, KMKN mengambil pelajar-pelajar Jurusan Kejuruteraan manakala KMK mengambil pelajar-pelajar Jurusan Sains.

 
Sebarang pertanyaan, cadangan atau komen, sila hantarkan kepada email webmaster di sysadmin@kmknerang.edu.my