Print

Perutusan Pengarah

pengarah 2Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya, pembangunan laman web Kolej MARA Kuala Nerang dapat disempurnakan dengan komitmen dan kerjasama semua pihak. Laman web Kolej MARA Kuala Nerang adalah wadah rasmi kolej yang melakarkan pencapaian dan kecemerlangan seluruh warga kolej dalam pelbagai bidang. Rakaman kejayaan ini menjadi sebahagian daripada tonggak dokumen kolej yang sangat berharga apabila kolej berjaya mempertahankan Anugerah Kualiti MARA tiga kali berturut-turut.

Kolej MARA Kuala Nerang mengendalikan Program Matrikulasi Perakauan Kementerian Pelajaran Malaysia, Foundation in Science & Technology dan Foundation in Science UniKL. Sebagai pusat pendidikan pra-U, Kolej MARA Kuala Nerang berperanan penting melahirkan generasi berketrampilan, berperibadi luhur, pintar dan soleh dalam menjalani penghidupan.

Dalam tempoh 22 tahun penubuhannya, Kolej MARA Kuala Nerang telah muncul antara IPMa terbaik. Pencapaian ini adalah hasil usaha jitu semua warga kolej. Mengimbas prestasi lampau dan memfokus kecemerlangan masa depan, amatlah penting disedari bahawa kecemerlangan adalah budaya dan bukannya destinasi kekal.

Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kolej yang telah berpadu tenaga, mengerah minda dalam memikul amanah bangsa untuk merealisasikan impian yang telah disandarkan. Menjadi harapan agar komitmen semua pihak menjadi teras perkhidmatan dalam memartabatkan impian MARA untuk melahirkan generasi terdidik, berbudaya keusahawanan serta menguasai sains dan teknologi dalam membina tamadun bangsa yang bermartabat.

Semoga segala usaha murni kita diberkati Allah SWT.

"Keunggulan Budaya Kita"

En. Azlan bin Hj. Osman
Pengarah
Kolej MARA Kuala Nerang
(Sumber: 2016)

Sebarang pertanyaan, cadangan atau komen, sila hantarkan kepada email webmaster di sysadmin@kmknerang.edu.my