LATAR BELAKANG

Kolej MARA Kuala Nerang atau ringkasnya dikenali dengan nama KMKN, memulakan operasi dan misi utamanya mendidik anak bangsa bermula 1 Disember 1994. Pembinaan Kolej telah menelan belanja sebanyak RM16 juta di dalam kawasan seluas 36 ekar yang terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Akademik dan Blok-Blok Kolej Kediaman (asrama). Sebagai salah satu pusat institusi pengajian MARA (IPMa), jelas teras operasinya adalah melaksanakan program-program pengajian. Namun begitu program-program tersebut tidak di'miliki' oleh Kolej. Sebaliknya setiap program pengajian mempunyai penganjur tertentu. Justeru permohonan dan pemilihan pelajar adalah di luar bidang kuasa Kolej. Sebaliknya pelajar perlu memohon melalui portal rasmi setiap penganjur program seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA.

En. Mat Zuber bin Ramli adalah Pengetua pertama yang mengisi kekosongan jawatan tersebut. Beliau berjaya mentadbir pengurusan kolej dengan baik dan cemerlang sebelum legasi kecemerlangan tersebut diteruskan oleh pengetua-pengetua lain selepas beliau. Bermula tahun 2008, gelaran Pengetua telah diubah kepada Pengarah selaras dengan Surat Pekeliling Am MARA Bil.2/2008 yang telah dikeluarkan. Terkini, Kolej diterajui oleh Pn Faizah binti Abu Bakar sebagai Pengarah yang baharu (Sejak 2024).

Pengetua dan Pengarah yang mentadbir Kolej:

1. En. Mat Zuber bin Ramli Dis 1994 - Dis 1998
2. Tn. Hj. Shaari bin Hussain Jan 1999 - Nov 2001
3. Tn. Hj. Jusoh bin Omar Jan 2002 - Dis 2003
4. En. Mohd Ikram bin Abdullah Jan 2004 - Feb 2006
5. Tn. Hj. Ahmad bin Ismail Jul 2006 - Jan 2007
6. Pn. Hjh. Shaariah binti Dahman Jan 2007 - Nov 2015
7. En. Azlan bin Hj. Osman Jan 2016 - Jan 2018
8. Tn. Hj. Suwandi bin Sanusi Feb 2018 - Dis 2019
9. Pn. Hjh. Ani Mardiah binti Azmin Jan 2020 - Feb 2024
10. Pn. Faizah binti Abu Bakar Feb 2024 - Kini

Kolej MARA Kuala Nerang terletak di daerah Padang Terap, Kedah Darul Aman. Seperti pusat IPMa (Institusi Pendidikan MARA) yang lain, kolej ini dinamakan Kuala Nerang sempena lokasinya yang terletak di Kuala Nerang iaitu pekan utama daerah Padang Terap. Pada asal pembangunannya, Kolej mempunyai sebuah pejabat pentadbiran yang bersambung terus dengan dua blok akademik utama iaitu Blok Akademik Utara (kini dikenali sebagai Cemerlang) dan Selatan (kini dikenali sebagai Gemilang), Recreation Center (kini dikenali sebagai Atrium Siswa Niaga), Dewan Selera, 3 buah Blok Kolej Kediaman iaitu Blok L (kini dikenali sebagai Iman), Blok P (kini dikenali sebagai Ikhlas) dan Blok Q (kini dikenali sebagai Ikhsan), 4 buah rumah Semi-D setingkat (kini salah satunya didiami oleh Ketua Warden, selebihnya didiami oleh Warden dan dijadikan KMKN Inn), Dewan Utama, Pondok Pengawal, Perpustakaan dan Surau.

Selepas beberapa tahun, Kolej menerima suntikan dana untuk menaiktaraf prasarana sedia ada dan membina kemudahan-kemudahan baru. Antaranya pada tahun 1998, surau kolej diperbesarkan untuk menampung kapasiti pelajar dari 600 orang kepada 1000 orang. Pada tahun 2002, Kuarters Pengarah dan Blok R (kini dikenali sebagai Iltizam) dibina. Empat tahun berikutnya, pembinaan Blok Unggul, Blok F (kini dikenali sebagai Insaniah) dan Kuarters Timbalan Pengarah siap dilaksanakan.

PROGRAM YANG DIJALANKAN

Pada awalnya, Kolej menjalankan Program Matrikulasi Universiti Utara Malaysia bermula dari tahun 1995 sehingga April 2000. Kumpulan pertama pelajar sesi 1995/1996 adalah pecahan kecil seramai 182 orang yang dipindahkan dari Kolej MARA Kulim untuk ditempatkan di Kolej MARA Kuala Nerang. Sepanjang tempoh usia Matrikulasi UUM ini, Kolej telah melahirkan seramai 1,864 orang pelajar yang kemudiannya menyambung pelajaran ke Universiti Utara Malaysia.

Program Matrikulasi UUM tamat pada tahun 2000 setelah Kementerian Pendidikan Malaysia menubuhkan Bahagian Matrikulasi pada tahun tersebut. Sejak itu bermula satu lembaran baru buat Kolej apabila diberi mandat untuk melaksanakan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan berdiri megah bersaing bersama-sama Kolej Matrikulasi yang lain. Kolej MARA Kuala Nerang dan Kolej MARA Kulim dimiliki sepenuhnya oleh MARA manakala Kolej Matrikulasi dan Kolej Matrikulasi Teknikal lain dimiliki oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Berbekalkan kepercayaan dan sokongan padu dari Bahagian Matrikulasi, Kolej berjaya merintis laluan buat pelajar-pelajar Matrikulasi KPM menyambung pelajaran mereka di semua IPTA dan IPTS seluruh negara. Sehingga ke hari ini, Program Matrikulasi KPM Jurusan Perakaunan masih diteruskan. Hanya Program Matrikulasi KPM Jurusan Sains sahaja yang ditamatkan pada tahun 2010 selepas berjalan selama tiga (3) sesi bermula 2017/2018. Walaupun tempoh Jurusan Sains dilaksanakan agak singkat tetapi pencapaian pelajar-pelajarnya amat memberangsangkan.

Selain daripada Program Matrikulasi KPM, Kolej juga menjalankan program-program Universiti Kuala Lumpur (UniKL) iaitu Program Foundation in Engineering (FET) dan Program Foundation in Biological Science (FIBS). Program FET dan FIBS masing-masing bermula pada 17 Februari 2008 dan 27 Julai 2008. Kedua-dua program masih berjalan sehingga ke hari ini tetapi nama program telah diubah kepada Foundation in Science (FSc) sesuai dengan tempoh kematangan program tersebut. Sesi pelaksanaan kedua-dua program hanyalah setahun kerana ia adalah program persediaan untuk Skim Pelajar Cemerlang (SPC) atau kini dikenali sebagai Young Talent Development Programme (YTP). Program YTP ini telah memahatkan sejarahnya tersendiri apabila para lepasan pelajar berjaya menyambung pelajaran mereka di universiti-universiti ternama di United Kingdom, Australia, New Zealand, India (Vinayaka) dan di kampus-kampus UniKL terpilih.

Menjelang 2010, UniKL telah memperkenalkan sebuah lagi program persediaan untuk kampus-kampus fakultinya seperti MFI, BMI, MSI, MIAT, MIIT, MICET, MIMET, RCMP, IPROM, MITEC, MESTECH dan lain-lain lagi. Program yang dikenali sebagai Foundation in Science & Technology (FIST) tersebut memperlengkapkan para pelajarnya dengan Asas Sains dan Kejuruteraan sebelum mereka melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda. Atas dasar perkongsian strategik, MARA dan UniKL telah menetapkan supaya mulai sesi 2013/2014, KMKN menyerap pelajar-pelajar Program FIST Jurusan Kejuruteraan manakala KMK (Kolej MARA Kulim) mengambil pelajar-pelajar Jurusan Sains. Walau bagaimanapun, polisi ini berubah mengikut kesesuaian masa.

Seiring dengan perubahan polisi MARA demi melahirkan generasi pelajar berdaya saing, Kolej terus ke hadapan mencakna program yang terbaik untuk pelajar-pelajarnya. Pada tahun 2020, BPT bersama-sama pihak Kolej telah membangunkan program baharu yang dikenali dengan nama Program Asasi Kolej MARA. Pada sesi 2020/2021 dua aliran pertama telah diperkenalkan iaitu Program Asasi Perniagaan dan Program Asasi Kejuruteraan. Para pelajar telah ditawarkan beberapa buah universiti swasta terpilih untuk menyambung ijazah sarjana muda sebelum mereka menerima tawaran dan mendaftarkan diri di Kolej. Legasi kecemerlangan pelajar diteruskan pada sesi 2021/2022 dengan penambahan satu lagi aliran iaitu Program Asasi Sains. Pada ketika ini, secara rasminya Kolej telah melaksanakan empat (4) buah program termasuk Program Matrikulasi KPM. Tahun 2021 mencatatkan keunikannya tersendiri apabila buat pertama kalinya dalam sejarah Kolej, para pelajar dan pensyarah memulakan proses pendaftaran dan seterusnya menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) berikutan lanjutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh  negara. Ketika itu Malaysia sedang mengalami penularan wabak Covid-19 dan berusaha memerangi pandemik tersebut.

kmkn  Hubungi Kami

KOLEJ MARA KUALA NERANG
LOT 566, DAERAH PADANG TERAP
06300 KUALA NERANG
KEDAH DARUL AMAN
MALAYSIA
  • +60 4 786 7250 / 7255
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

PERKHIDMATAN ATAS TALIAN

PAUTAN LUAR

Cari Kami di
Facebook
Tarikh Kemaskini:
29 OGOS 2023
Sebarang pertanyaan, cadangan atau komen, sila hantar melalui emel webmaster di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

HAKCIPTA TERPELIHARA © KOLEJ MARA KUALA NERANG 2019
TERMA DAN SYARAT | DASAR PRIVASI | DASAR KESELAMATAN | PENAFIAN